Kempen Mahasiswa Sedar telah lama berlalu, namun setiap langkah dan tindakan ke arah menyedarkan mahasiswa dari segi pemikiran dan tingkah laku tidak akan berhenti biarpun tempoh di atas kertas telah lama mencecah penamat. Baru-baru ini, dunia mahasiswa di UTM disedarkan pula dengan gerakan Jawatankuasa Bertindak Pusat UTM Zon Larangan Bonceng.

Jawatankuasa ini yang berfungsi untuk mendapatkan sokongan melalui tandatangan mahasiswa di sekitar UTM adalah di bawah naungan Persatuan Mahasiswa Islam UTM (PMIUTM) dengan kerjasama oleh persatuan-persatuan mahasiswa yang lain. Beberapa hari berlalu dengan pelbagai berita terkini mengenai gerakan tersebut telah banyak dimuatkan dalam blog rasminya di http://utmsayno2bonceng.blogspot.com.

Melalui maklumat yang didapati pada blog tersebut serta daripada Pengerusi jawatankuasa bertindak pusat, gerakan ini bertujuan untuk membanteras gejala bonceng yang menular di UTM sekaligus mengurangkan masalah sosial yang semakin meruncing. Pihak MAHAR'09 menyokong usaha jawatankuasa bertindak pusat dalam membendung gejala bonceng di UTM dan menyeru mahasiswa UTM agar bersama-sama menjayakan usaha ini. Diharapkan dengan berjayanya UTM Zon Larangan Bonceng, kesedaran mahasiswa tentang isu bonceng yang tidak bermoral akan meningkat.

Bersama Memacu Transformasi

Boleh Mati Mengejut - Dr. Adilah Ahmat

UTUSAN MALAYSIA (15 Jun 2009)

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kecenderungan golongan lelaki lembut dan mak nyah makan ubat-ubat pencegah kehamilan boleh menyebabkan mereka mati mengejut.

Selain itu, penyalahgunaan ubat- ubatan tersebut mendedahkan mereka dengan risiko pelbagai penyakit kronik termasuk kanser prostat serta diserang penyakit jantung, hati dan mengalami masalah salur darah tersumbat.

Kandungan estrogen dalam pil itu meskipun dalam sukatan yang rendah menjadikan darah cepat melekit dan menyebabkan dinding saluran darah menjadi tebal.

Pembekuan darah itu biasanya mula terbentuk di bahagian kaki seterusnya berpindah ke paru-paru, jantung dan otak yang boleh mengakibatkan kematian atau lumpuh.

Lebih buruk lagi, kesan pengambilan ubat-ubat tersebut boleh menyebabkan mereka mengalami gangguan mental serta dilanda kemurungan yang serius.

Pakar Perbidanan dan Ginekonologi Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr. Adilah Ahmat berkata, pil-pil pencegah kehamilan lazimnya disarankan oleh doktor kepada wanita berkahwin untuk mencegah kehamilan.

Kata beliau, penggunaannya boleh membantu wanita menjarakkan kehamilan dengan tujuan untuk merancang keluarga.

Jelasnya, pil-pil perancang yang mengandungi hormon estrogen dan progestogen hanya sesuai digunakan oleh wanita dan bukannya untuk lelaki atau golongan 'mak nyah'.

Katanya, golongan tersebut perlu menghentikan tabiat 'menyalahgunakan' ubat tersebut serta-merta atau berdepan dengan masalah kesihatan.

''Pil-pil perancang tidak boleh diamalkan tanpa saranan atau panduan daripada doktor-doktor bertauliah.

''Apa sudah jadi dengan mereka (golongan mak nyah'). Adakah mereka sedar risikonya,'' katanya.

Beliau berkata, kesannya lebih ketara jika golongan tersebut adalah perokok tegar dan turut mengambil pil-pil vitamin lain untuk kecantikan.

''Amat mengejutkan jika ada lelaki yang mahu membentuk tubuh menjadi 'wanita' mengamalkan pil-pil perancang. Amalan ini akan menyebabkan mereka berisiko mendapat kanser prostat yang boleh meragut nyawa,'' jelasnya.

Beliau yang bimbang dengan fenomena tersebut berkata, kesan lain yang menimpa lelaki tersebut ialah kemaluan mereka mengecil seperti saiz kanak-kanak.

Jelas beliau, mereka juga akan menderita masalah 'mati pucuk' .

''Jika golongan 'mak nyah' ini mahu menjadi lelaki semula dan memulakan hidup berumah tangga peluang untuk mendapat anak agak sukar kerana mereka akan mengalami masalah 'mati pucuk'.

''Sebab itu, mereka yang mahu mengambil pil perancang perlu berjumpa doktor untuk mendapat panduan dan nasihat yang tepat,'' katanya.

Mahasiswa, Akhlak dan Kepentingannya

"Berikan aku 10 pemuda yang benar tegar fisikal dan mindanya, akan kugegarkan dunia dengan pemuda-pemuda ini". Kata-kata keramat bekas Presiden Indonesia, Pak Soekarno, yang sering diucapkan oleh sahabat pimpinan mahasiswa suatu ketika dulu terngiang-ngiang di telinga saya tatkala jari-jemari ini mula menekan papan kekunci komputer. Kata-kata yang menjadi refleksi kepada keteguhan jiwa anak muda ini merupakan antara pemangkin tindakan mahasiswa dewasa ini.

Mahasiswa merupakan golongan intelek yang tidak boleh tidak, memang akan berhadapan dengan masyarakat tidak kira sama ada semasa masih menuntut di universiti mahupun setelah keluar ke alam kerjaya nanti. Demi mendepani masyarakat, mahasiswa seharusnya mempunyai identiti tersendiri yang membolehkan masyarakat meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mereka sebagai pewaris kepimpinan negara.

Rasulullah S.A.W sendiri didampingi oleh golongan syabab dalam menelusuri perjuangan dan mereka merupakan golongan intelligent yang berhati bersih dan berakhlak mulia. Bagaimana pula dengan mahasiswa yang bakal mendampingi pemimpin-pemimpin di kalangan masyarakat di luar kelak? Malah, di dalam kampus sendiri, akhlak mahasiswa sering menjadi buah mulut sesama mahasiswa sendiri dan juga pihak pentadbiran. Akhlak mahasiswa yang saya lihat kini sudah kurang selari dengan peningkatan ilmu pengetahuan. Nilai adab dan tatasusila kian meruncing di kalangan mahasiswa terhadap lapisan masyarakat seperti pensyarah, ibubapa dan sahabat handai. Pengaruh hedonisme memburukkan lagi proses pembentukan nilai berasaskan budaya ketimuran dan akhlak Islamiyyah. Hedonisme nyata membawa pelbagai impak negatif kepada minda dan perilaku mahasiswa yang bakal berdiri seiring dengan pemimpin negara suatu hari nanti.

Saya khuatir sekiranya tiada langkah yang diambil untuk 're-engineering' imej mahasiswa bermula dari sekarang, graduan yang bakal keluar nanti akan terlibat dengan pelbagai masalah etika yang lain ketika berkecimpung di alam kerjaya kelak. Sebagai contoh, isu rasuah yang sememangnya sudah begitu hangat diperkatakan mungkin akan bertambah tenat jika tiada resolusi difikirkan bermula dari sekarang. Mahasiswa adalah golongan intelek yang sudah sedia tahu tentang etika, seharusnya perkara seperti ini tidak berlaku setelah mendapat segulung ijazah dan kemudiannya berhadapan dengan dunia luar. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sendiri contohnya, Kempen Mahasiswa Sedar 2009 (MAHAR’09) yang baru sahaja berlalu merupakan antara titik mula kepada jalan-jalan lain untuk ‘re-engineering’ imej mahasiswa UTM.

Dalam membentuk akhlak mahasiswa, para pensyarah juga tidak terkecuali memainkan peranan. Ciri-ciri akhlak terpuji hendaklah diamalkan di dalam kehidupan kerana mahasiswa melihat pensyarah sebagai role model yang layak dicontohi. Imam al-Ghazali telah memperincikan 10 peranan pelajar dan 8 peranan guru berhubung dengan adab kesopanan yang telah dihuraikan di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin. Amat menarik untuk direnungi peranan guru yang kelapan seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali di dalam adab kesopanan iaitu; 'Guru harus mengamalkan sepanjang ilmunya. Jangan perkataannya membohongi perbuatannya. Kerana ilmu dilihat dengan mata hati dan amal dilihat dengan mata kepala. Yang mempunyai mata kepala lebih banyak.' (PM. Dr. Ishak Suliaman, API UM)

Oleh itu, saya mengharapkan agar mahasiswa yang bakal keluar dari kampus UTM ini nanti adalah mahasiswa yang tinggi nilai akhlaknya. Bagi memastikan perkara ini direalisasikan, tenaga bersama antara mahasiswa terutamanya, amat diperlukan supaya bergerak di dalam satu barisan untuk mengangkat kembali martabat tenaga mahasiswa yang disanjungi satu ketika dahulu. Ayuh bangun mahasiswa!

Timbalan Pengerusi
JAKERS MPP UTM 0809

Solat Hajat Perdana



Rakaman suara CINDAI

Rakaman suara CINDAI, sila klik link untuk download:

Sesi 1: Perkahwinan Semasa Belajar Antara Pro dan Kontra
Sesi 2: Isu-isu Perkahwinan

Sumber: Abdul Azim Abdul Jamil

KERTAS KERJA CINDAI



Perkahwinan Semasa Belajar di Antara Pro dan Kontra
Downloadlink
Downloadlink Full

KERTAS KERJA CINDAI



Isu-isu Perkahwinan Masa Kini
UTM Skudai, 21 Mac 2009: Program sempena Kempen Mahasiswa Sedar 2009 (MAHAR '09), Seminar Cintaku Dari Illahi (CINDAI) telah diadakan di Dewan Seminar, Aras 4, CICT UTM Skudai pada pagi ini. Program ini yang berjaya menarik perhatian hampir 270 orang mahasiswa UTM bermula dengan sesi pendaftaran pada pukul 8.30 pagi. Pada jam 9.00 pagi, penceramah yang dijemput khas dari Masjid Sultan Ismail (MSI), iaitu Ustaz Mohd Ismail Bin Mustari memulakan sesi pertama pembentangan kertas kerja bertajuk "Perkahwinan Semasa Belajar Antara Pro dan Kontra". Pembentangan kertas kerja bertambah menarik apabila penceramah menceritakan pengalaman beliau sendiri sebagai seorang mahasiswa yang berkahwin di alam pengajian ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir.

Selepas minum pagi, sesi kedua pembentangan kertas kerja bermula pada pukul 11.30 pagi, didahului dengan sesi soal jawab antara peserta dengan penceramah. Pelbagai soalan menarik dilontarkan oleh para peserta yang ingin memahami lebih lanjut mengenai isu perkahwinan semasa belajar. Penceramah turut menerangkan fungsi hati sebagai magnet yang menarik rezeki, hidayah, keberkatan, ketenangan, kesihatan, syurga, neraka, sakit, bencana, di'ayah, rasa sayang dan juga rasa benci.

Para peserta yang hadir turut disajikan dengan persembahan video klip nasyid De'Hearty, "Permata Yang Dicari", di penghujung program. Pengarah MAHAR'09 merangkap pengarah CINDAI, saudara Mohd Affendi Bin Ismail, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada peserta yang hadir dan mengharapkan maklum balas daripada para peserta bagi meningkatkan mutu program pada masa hadapan. Semua ahli jawatankuasa program CINDAI dan MAHAR menyatakan penghargaan kepada peserta yang menghadiri program dan berharap agar program seperti ini terus mendapat sambutan yang memberansangkan pada masa akan datang.

CINDAI - TERKINI!